HATTEM meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat kemalangan ketika perlumbaan drag pada awal pagi Ahad lalu. FOTO ihsan pembaca
HATTEM meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat kemalangan ketika perlumbaan drag pada awal pagi Ahad lalu. FOTO ihsan pembaca
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Litar drag terus menjadi medan maut untuk pelumba apabila kes terbaharu membabitkan peserta Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan.

Mangsa dikenali Hattem Rashdi berusia 22 tahun terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada 1 pagi Ahad lalu di Pekan, Pahang, selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Hattem yang mewakili ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Menurut Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang hari ini dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

"Allahyarham adalah pelumba litar drag yang berbakat dan menjadi penunggang kepada ESR Motor sejak dua tahun lalu.

"Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:53 PM