FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

"Ia akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam 20 Oktober.

"Sementara, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya Lekas dan Besraya di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

"Ia diambil sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup," katanya di majlis pelancaran Lebuhraya DASH di sini, hari ini.

Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju ke atas cadangan Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong pada 4 Mac 2022 bagi tujuan pembinaan lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah untuk menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di lebuh raya ke Pantai Timur.

Menurutnya, susulan kejadian banjir yang sering berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), kerja tebatan banjir di Lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan.

"Kesemua kerja penambahbaikan ini mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.

"Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan sudah menjimatkan kira-kira RM8.8 bilion dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, pengguna lebuh raya bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:43 AM