LEBUHRAYA Pantai Timur (LPT), Karak. FOTO Aizuddin Saad
LEBUHRAYA Pantai Timur (LPT), Karak. FOTO Aizuddin Saad
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PEMEGANG konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), ANIH Berhad mengumumkan potongan tol 10 peratus untuk semua kelas kenderaan sempena perayaan Hari Natal berkuat kuasa 12 tengah malam, Isnin ini.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pemberian diskaun yang akan berakhir pada jam 11.59 malam hari yang sama itu sebagai inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghargai pengguna dua lebuh raya berkenaan.

"Inisiatif pemberian diskaun tol menjelang semua jenis perayaan di Malaysia mula diperkenalkan sejak 2011 sebagai tanda terima kasih syarikat kepada semua pengguna KLK dan LPT 1," katanya dalam satu kenyataan, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kesesakan trafik pihaknya turut mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) sebagai rujukan bagi pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka ekoran pertambahan kenderaan pada waktu puncak khususnya di tiga plaza tol kendalian konsesi itu di Gombak, Bentong dan Karak.

"Pihak kami menjangkakan waktu puncak yang mana kenderaan mula membanjiri KLK dan LPT 1 pada 11 pagi hingga 1 tengah hari Sabtu ini menghala ke pantai timur manakala bermula 3 petang hingga 6 petang pada Isnin ini bagi trafik menghala ke ibu negara," katanya.

Nik Fauzi berkata, pihaknya menyarankan pengguna yang ingin ke Pahang Sabtu ini supaya menggunakan lebuh raya sama iaitu bermula 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam.

Menurutnya, orang ramai yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pada hari sama boleh memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

"Untuk kembali semula ke Kuala Lumpur pada Isnin, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.

"Pengguna dari Terengganu pula dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya antara 8 pagi hingga 11 pagi atau antara 8 malam hingga 10 malam, sementara mereka yang pulang dari arah Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 4:47 PM