Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Anak saya ke sana untuk bekerja dengan baik, jadi tolong kembalikan dia dengan baik. Janganlah diapa-apakan anak saya itu," rayu wanita mahu dikenali Wati, 49, berikutan bimbang keselamatan anaknya yang dipercayai terperangkap di Myanmar.

Anak lelakinya berusia 20 tahun itu antara mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara yang belum dapat diselamatkan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan, mangsa sindiket itu bukan saja terkurung dan dipaksa bekerja, malah turut diseksa dengan kejam seperti dibelasah serta direnjat elektrik, manakala wanita pula berisiko dijual kepada sindiket lain untuk dijadikan pelacur.

Wati berkata, dia tidak mengetahui keadaan sebenar dihadapi anak, meskipun anaknya itu ada menghubunginya kerana mereka dapat berbual kira-kira dua minit sahaja dan dikawal sindiket.

Menurutnya, semua bermula selepas anak ketiga daripada lima beradik itu mahu mencari pekerjaan bagi membantu menyara keluarga, sebelum ditipu sindiket kerja yang membawanya ke negara berkenaan pada April lalu.

Sejak itu, Wati berkata, mereka jarang berhubung kerana anaknya hanya boleh menghubungi keluarga pada masa ditetapkan dan kemungkinan dilarang menceritakan apa yang berlaku.

"Saya mohon kerajaan prihatin dan bantu anak saya di Myanmar. Tolong, tolonglah bawa dia pulang ke Malaysia. Saya takut jadi apa-apa dekat anak saya.

"Saya sangat mengharapkan kerajaan ambil tindakan segera untuk bantu anak saya dan rakyat Malaysia yang lain di sana. Saya juga merayu kepada Kerajaan Myanmar tolong selamatkan rakyat Malaysia," katanya.

Dia ditemui ketika menyertai Perhimpunan Kemanusiaan Bagi Mengingati Anak Malaysia Yang Ditahan, Dipaksa, Diperdagang dan Diseksa di Myanmar di hadapan Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang di sini, malam tadi.

HERMAWATI Bustami (kiri) dan NGO melakukan Perhimpunan Kemanusian bagi memperingati Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan di Myanmar. FOTO Fathil Asri
HERMAWATI Bustami (kiri) dan NGO melakukan Perhimpunan Kemanusian bagi memperingati Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan di Myanmar. FOTO Fathil Asri

Perhimpunan anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) itu dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga mangsa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, seorang lelaki 60 tahun yang enggan dikenali berkata, anak lelakinya turut diperdaya sindiket sama dan mendakwa dikurung, diseksa serta dipaksa bekerja di negara berkenaan.

Dia berkata, selain anaknya puluhan lagi mangsa menerima nasib sama menyebabkan kesemua mereka kini dalam ketakutan dan menunggu bantuan daripada pihak berkuasa.

"Setiap malam saya tidak dapat tidur lena kerana bimbangkan anak saya. Apabila terjaga, saya mesti cepat-cepat tengok telefon kerana mungkin dia akan hubungi saya," katanya yang berharap anaknya dapat diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air dengan segera.

Harapan sama juga dikongsi beberapa ahli keluarga lain yang turut berharap kerajaan menyelesaikan isu itu secepat mungkin sekali gus menyekat lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 8:31 AM