Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suasana pilu menyelubungi sidang media penyerahan memorandum di hadapan Kedutaan China, Jalan Ampang, di sini, hari ini, untuk memohon kerajaan China bekerjasama dengan Malaysia bagi membantu rakyat negara ini yang terperangkap akibat sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Seorang ibu menangis dan tiba-tiba melutut serta bersujud berkali-kali di hadapan kedutaan itu sambil merayu meminta pertolongan membebaskan anak lelaki dan menantunya yang berada di Myanmar.

Chin Lee Yoong, 64, merayu kerajaan China untuk menyelamatkan anak lelakinya, Low Yeow Hoong, 38, dan menantu, Wong Choi Wen, 34, yang ditipu dan kini terperangkap serta diseksa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak tujuh bulan lalu.

"Memang ada anak dan menantu saya hubungi namun sekejap sahaja. Di sana jika tidak ikut arahan, mungkin tidak balik hidup.

"Saya sedih dengan nasib mereka dan merayu kepada kerajaan China untuk membantu.

"Sejak mereka pergi pada Mac lalu, saya menjaga dua anak mereka berusia 10 dan tujuh tahun," katanya yang bertolak dari rumahnya di Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput, Perak pada jam 2 pagi tadi dan sampai ke ibu negara tiga jam kemudian.

Menurutnya, anaknya yang sebelum ini bekerja di Singapura terpedaya dengan tawaran gaji mahal ditawarkan sindiket.

"Namun saya tidak tahu pada waktu itu dia ditawarkan kerja di mana. Apabila sudah sampai dan bekerja di Myanmar, dia ada hubungi memberitahu diseksa dengan alat renjatan elektrik oleh pihak sindiket," katanya.

Sementara itu, Ermawati Bustami, 50, berkata, anaknya Muhammad Al-Hafiz Hakim Kamaruddin, 20, ditawarkan bekerja di Dubai dengan tawaran gaji lumayan sebanyak AS$13,000 (kira-kira RM61,314).

Bagaimanapun, katanya, Hafiz yang fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris tidak ke Dubai sebaliknya ke Kemboja seterusnya ke Thailand dan akhirnya ke Myanmar.

"Ketika dia menyatakan hasrat mahu bekerja ke luar negara, kami sekeluarga sudah menasihatkan supaya bekerja sahaja di dalam negara.

"Buat masa ini, kami tidak mengetahui di mana lokasi sebenarnya di Myanmar dan bagaimana keadaannya. Kami merayu semua pihak membantu untuk dia pulang ke tanah air," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Datuk Hishamuddin Hashim mewakili pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia berkata, pihaknya berharap memorandum disampaikan untuk maklumat Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia Ouyang Yujing akan diberi pertimbangan kerajaan China.

"Kami percaya China adalah kuasa besar dan mempunyai hubungan baik dengan Myanmar termasuk sudut ekonomi. Pelabur terbesar di Myanmar adalah dari China.

"Justeru, negara berkenaan boleh memberikan tekanan kepada Myanmar untuk bantu membebaskan rakyat Malaysia seperti dengan menghantar nota bantahan atau protes.

"Ini sekali gus menghentikan Myanmar yang kini umpama hab destinasi pemerdagangan manusia di rantau ini.

"Ramai mangsa dari pelbagai negara sudah terperangkap menjadi hamba abdi moden di negara itu," katanya.

Lee Yoong merayu Kerajaan China untuk menyelamatkan anak lelakinya. FOTO ROHANIS SHUKRI
Lee Yoong merayu Kerajaan China untuk menyelamatkan anak lelakinya. FOTO ROHANIS SHUKRI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:06 PM