HISHAMUDDIN (tengah) bersama Musa menyerahkan surat kepada Kedutaan Myanmar bagi meminta campur tangan isu rakyat Malaysia dieksploitasi sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
HISHAMUDDIN (tengah) bersama Musa menyerahkan surat kepada Kedutaan Myanmar bagi meminta campur tangan isu rakyat Malaysia dieksploitasi sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyelesaikan isu ratusan rakyat Malaysia yang dieksploitasi sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini berkumpul secara aman di hadapan Kedutaan Myanmar di Malaysia sebelum menyerahkan memorandum.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Ismail Sabri perlu menyelesaikan isu ini bersama ketua negara Asean lain berikutan sindiket terbabit dilihat kebal dipercayai dilindungi pihak berkuasa Myanmar walaupun banyak laporan sudah dibuat.

Menurutnya, Kementerian Luar atau Wisma Putra perlu memberi teguran kepada pihak Kedutaan Myanmar yang seolah-olah tidak memberi kerjasama berkaitan isu ini.

"Ada keluarga mangsa yang cuba mendapatkan bantuan dan maklum balas pihak kedutaan (Myanmar) di sini namun tidak dilayan.

"Justeru, kita minta Perdana Menteri perlu campur tangan kerana dipercayai ratusan rakyat Malaysia yang diseksa dan dipaksa bekerja sebagai sindiket penipuan dalam talian malah ada yang jadi pelacur," katanya ketika ditemui pemberita di luar Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, jika mangsa diminta dibebaskan, sindiket meminta RM50,000 hingga RM100,000 sebagai wang tebusan.

"Setakat ini, kami menerima 16 laporan daripada keluarga mangsa yang terperangkap di Myanmar dan menjangka banyak lagi keluarga mangsa akan tampil," katanya.

Sementara itu, penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau akan menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui meja Asean di Bukit Aman dalam usaha menyelamatkan mangsa-mangsa.

"Saya akan menyerahkan maklumat memandangkan wakil-wakil polis Asean ada di Bukit Aman malah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah atau dijadikan mangsa jenayah-jenayah.

"Diharap PDRM juga akan membantu untuk siasatan dijalankan dan mengambil tindakan untuk mereka atau warga Malaysia sendiri di sini yang terbabit dalam sindiket ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 3:31 PM