KELUARGA mangsa yang menunjukkan gambar bukti rakyat Malaysia yang diseksa ketika ditipu sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
KELUARGA mangsa yang menunjukkan gambar bukti rakyat Malaysia yang diseksa ketika ditipu sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Jika wanita itu gemuk, sindiket akan menyuntik sejenis ubat dan dipaksa makan ubat kurus sehingga turun berat badan sebelum dijadikan pelacur," itu dakwa seorang ibu kepada mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Wanita berusia 56 tahun itu berkata, anaknya diseksa dengan renjatan elektrik malah sudah diambil darah mungkin untuk penjualan organ.

Menurutnya, sindiket itu juga ada mengambil darah untuk dijual malah ada yang diseksa sehingga mati.

"Anak dapat menghubungi saya secara sembunyi, dia maklum seramai 50 orang rakyat Malaysia tiba di sana semalam dipercayai menjadi mangsa terbaharu," katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedutaan Myanmar, di Ampang Hilir di sini hari ini.

Seorang lagi wanita berusia 62, yang juga ibu kepada mangsa penipuan mendakwa anak lelakinya berusia 29 tahun diculik di Bangkok pada Julai lalu sebelum disuntik dengan dadah sehingga pengsan dan diseludup ke Myanmar.

Dakwa wanita itu, anaknya terpedaya dengan tawaran pekerjaan sebagai jurubahasa di Facebook dan pergi ke Bangkok melalui jalan sah.

"Apabila sedar daripada pengsan, dia sudah berada di KK Park (Myanmar). Di sana dia dipaksa bekerja sebagai scammer untuk tipu orang Asia Tenggara pada siang manakala malam pula menipu rakyat asing terutama warga China di Amerika Utara.

"Dia (anak) baru-baru ini memaklumkan kemungkinan sindiket rancang untuk berpindah kerana tempat itu (KK Park) kini sudah terdedah dan dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 3:29 PM