Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang terkandas di KK Garden, Myanmar sejak April lalu mendakwa dipaksa bekerja lebih 15 jam sehari tanpa cuti selain dihukum ala tentera jika tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Koh Sheng Yur, 19, dari Pekan, Pahang pada mulanya dijanjikan pekerjaan di Kelantan dengan gaji RM5,000 hingga RM6,500 sebulan sehingga dia sanggup menaiki bas seorang diri ke negeri itu sebelum dibawa menaiki bot menyeberangi Sungai Golok menuju ke Thailand.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata tidak menyangka akan dibawa menyusup masuk ke Myanmar menggunakan laluan tikus kerana ketika dia menaiki bot hari sudah malam selain dia tidak memiliki pasport.

"Di sana saya tinggal di dalam sebuah bilik di rumah flat bersama lapan hingga 10 orang lain dengan pergerakan kami dikawal ketat. Tugas saya lebih kurang seperti 'scammer' online.

"Jika saya tidak dapat buat jualan atau tarik pelanggan majikan suruh saya buat 'senaman' lari sampai tujuh pusingan padang dan selain didenda angkut air dalam tong turun naik tangga bangunan lima tingkat.

"Saya juga pernah ditampar dengan kuat beberapa kali sehingga telinga berdesing kerana tertidur semasa sedang bekerja," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.

Sheng Yur berkata dia kerap menangis kerana tertekan mengenangkan nasib diri yang hidup dalam ketakutan selain sering kelaparan kerana hanya diberi makan sekali sehari

LOKE bersama anaknya Koh Sheng Yur  dalam sidang akhbar menjadi mangsa sindiket pekerjaan di luar negara. FOTO Mikail Ong
LOKE bersama anaknya Koh Sheng Yur dalam sidang akhbar menjadi mangsa sindiket pekerjaan di luar negara. FOTO Mikail Ong

Bagaimanapun dia bersyukur apabila seorang rakyat Malaysia membantunya membebaskan diri daripada sindiket itu kira-kira sebulan lalu sebelum berjaya kembali ke negara ini pada Isnin lalu.

Kepulangan turut dibantu calon Bebas kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sri Johnny Ch'ng Ewe selain mendapat bantuan pihak kedutaan.

Ibu kepada Sheng Yur yang hanya ingin dikenali sebagai Loke, 57, berkata dia buntu memikirkan nasib yang menimpa anaknya yang hanya akan dapat dibebaskan dengan bayaran wang tebusan sebanyak RM50,000.

Katanya dia tidak bekerja dan suaminya menyara keluarga sebagai pemandu jentolak hanya dapat mengumpul RM5,000 hasil pemberian rakan dan saudara-mara selain wang simpanan sendiri.

"Kami bukan orang senang jadi saya minta tolong dengan pelbagai pihak dan akhirnya selepas berusaha selama tujuh bulan akhirnya saya dapat kembali anak saya.

"Datuk Seri Johnny antara orang yang terawal tampil membantu dan saya meminta pertolongannya atas saranan rakan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 4:09 PM