Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor akan melakukan pelupusan dadah bernilai RM6.11 juta membabitkan kes yang selesai perbicaraan dan dijatuhkan hukuman mulai 2002 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pelupusan termasuk dadah seberat 301.54 kilogram (kg) selain 642.37 liter cecair akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, antara dadah dilupuskan heroin seberat 41.79 kg, kanabis (20.21kg), ketamin (2.49kg), metamfetamin (9.90kg), methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah seberat 9.65kg dan 642.37 liter.

"Tahun lalu, JSJN Johor berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta.

"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat boleh disalurkan menerusi hotline JSJN 012-2087222," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

KAMARUL Zaman (enam kanan) melihat barangan rampasan yang bakal dilupuskan. FOTO Mary Victoria Dass
KAMARUL Zaman (enam kanan) melihat barangan rampasan yang bakal dilupuskan. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:22 PM