KAMARUL Zaman menunjukkan 322.13 kilogram dan 1,562.6 liter dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM5.43 juta. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman menunjukkan 322.13 kilogram dan 1,562.6 liter dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM5.43 juta. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis Johor melupuskan sebanyak 322.13 kilogram dan 1,562.6 liter dadah pelbagai jenis yang berkait dengan kes narkotik sepanjang tahun 2000 hingga 2022.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua dadah dilupuskan itu dianggarkan bernilai RM5.43 juta dan membabitkan 3,214 kes yang sudah diselesaikan.

"Dadah yang dilupuskan hari ini termasuk 19.42 kilogram (kg) heroin, 28.38 kg kanabis, 15.04 kg ketamin, 8.03 kg methamphetamine, 10.34 kg MDMA dan 236.43 kg daun ketum.

"Selain itu, terdapat 4.45 kg pelbagai lagi jenis dadah serta dadah berbentuk cecair sebanyak 1,562.6 liter.

"Kita juga akan melupuskan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kes pemprosesan dadah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya.

Kamarul Zaman berkata, semua barang kes yang akan dilupuskan itu akan dibawa dan diuruskan Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Orang selalu mempersoalkan semua dadah dirampas ini dibawa ke mana, dijual balik ke? Tidak, inilah proses yang kita buat sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk lupuskan barang kes.

"Itulah SOP (prosedur operasi standard) dalam polis untuk pastikan barang kes ini akan dilupuskan mengikut standard yang tidak mencemarkan alam sekitar. Stor barang kes juga tidak muat dan kita mahu elakkan berlaku penyelewengan," jelasnya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, JSJN berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas sebanyak 301.54 kg dan 642.37 liter yang dianggarkan bernilai RM6.11 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 1:26 PM