Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 220 individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam Op Tapis selepas sarang penagihan dadah di Kampung Melayu Pandan di sini digempur polis, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua lelaki yang ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun yang menjadikan beberapa lokasi di kampung itu sebagai 'port' melepas gian.

Beliau berkata, Kampung Melayu Pandan adalah antara 12 kawasan panas sarang penagihan dadah yang dikenal pasti di negeri ini.

"Tujuan operasi ini dijalankan adalah untuk membersihkan kawasan penempatan ini daripada menjadi tempat penagihan dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat meninjau di Op Tapis di Kampung Melayu Pandan di sini, hari ini.  FOTO Mary Victoria Dass
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat meninjau di Op Tapis di Kampung Melayu Pandan di sini, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass

"Hasil siasatan juga mendapati sarang penagihan dadah ini menjadi lokasi pengedaran dadah secara kecil-kecilan dalam kalangan mereka.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari penyelesaian demi memerangi dadah. Masalah ini tiada kesudahannya jika tiada tindakan berterusan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Kamarul Zaman berkata, semua yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata, Op Tapis itu dijalankan membabitkan 38 pegawai dan 292 anggota yang membuat serbuan di lokasi panas di seluruh negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 2:26 PM