Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Lima individu termasuk sepasang suami isteri ditahan di sebuah kediaman di kawasan perumahan berpengawal yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah di Gelang Patah di Iskandar Puteri di sini dalam satu operasi Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi berkenaan diadakan pada jam 9 malam oleh pasukan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

Katanya, menerusi serbuan berkenaan, empat lelaki dan seorang perempuan tempatan berusia antara 22 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan.

Menurutnya, mereka termasuk pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 dan 23 tahun yang dipercayai berkahwin lebih setahun lalu dan memiliki seorang bayi.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah manakala tiga suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyimpan dadah di rumah berpengawal dan berpagar serta di dalam kereta sebelum diedarkan di sekitar bandar raya ini.

KAMARUL (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas di Gelang Patah. FOTO Mary Victoria Dass
KAMARUL (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas di Gelang Patah. FOTO Mary Victoria Dass

"Kegiatan pengedaran dadah ini aktif beroperasi sejak Mac lalu di kediaman teres dua tingkat berkenaan.

"Mereka menggunakan rumah itu sebagai stor dan membungkus dadah dan kebiasaannya dadah berkenaan dari negara jiran.

"Polis berjaya merampas 21,166 gram ganja bernilai RM52,915 dan 784 gram syabu bernilai RM14,112 dengan nilai keseluruhan RM67,027. Dadah dirampas dalam operasi berkenaan dijangka bagi kegunaan seramai 21,322 penagih," katanya katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis turut menyita wang tunai bernilai RM30,650, pelbagai barang kemas bernilai RM44,413 dan tiga kereta dan dua motosikal bernilai RM113,000.

Beliau berkata, nilai sitaan keseluruhan adalah RM188,063 manakala nilai rampasan dan sitaan bagi operasi berkenaan adalah RM255,090.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama enam hari mulai 24 September hingga 30 September dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain sebatan.

"Mulai 1 Januari hingga 24 September ini, polis Johor berjaya membuat tangkapan seramai 10,556 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.72 tan dadah.

"Manakala nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM12.26juta selain nilai sitaan adalah RM7.35 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:09 PM