Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis sedang menunggu sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris atau keluarga mangsa insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sampel DNA waris mangsa diperlukan untuk dipadankan dengan penemuan cebisan rangka manusia yang ditemui di lokasi berkenaan beberapa hari lalu.

Katanya, bagi mangsa Orang Asli, Itam Lasoh, 43 itu, pihaknya sudah mengambil sampel DNA daripada keluarganya.

"Manakala seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, 49 kita masih menunggu keluarga memberi sampel DNA kerana mereka berada di luar negara, difahamkan di Switzerland," katanya pada sidang media Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan perkembangan terkini hasil bedah siasat cebisan rangka manusia yang ditemukan di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini Mac lalu.

YUSRI  pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran
YUSRI pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran

Mohd Yusri berkata, sampel DNA waris keluarga mangsa dipadankan bagi tujuan pengesahan identiti.

"Jadi, kita akan menunggu sampel ini diberikan keluarga masing-masing untuk kita padankan dan memastikan adakah mangsa (cebisan rangka ditemui) berkenaan daripada kalangan mereka yang hilang atau yang lain," katanya.

Beliau berkata, tempoh bagi mendapatkan hasil keputusan sampel DNA berkenaan bergantung kepada pihak forensik.

"Tempoh hasil keputusan bergantung kepada pihak forensik hospital, kita serahkan kepada mereka untuk menjalankan kajian dan sebagainya," katanya.

YUSRI  pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran
YUSRI pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran

Media sebelum ini melaporkan, cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui di dalam operasi dan menyelamat (SAR) dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi tujuan bedah siasat.

Jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian di sini, 8 Mac lalu.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari, kira-kira jam 9.15 pagi, pada 8 Mac lalu menyebabkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh dan Kheow Loo Siew Soon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 10:45 AM