Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan hari ini di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus di dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu.

Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi di sini, hari ini.

"Kita sudah menjumpai satu bangkai jengkaut pada 11.45 pagi tadi, kemudiannya kira-kira setengah jam kemudian pencarian di kawasan sekitar turut menemui cebisan baju dan rangka.

"Kita menemui bangkai jengkaut serta cebisan baju tulang dan baju pada kedalaman 10 hingga 15 kaki (3 hingga 4.5 meter) , kira-kira 75 kaki (22.9 meter) dari jarak titik pencarian sebelum ini," katanya.

Azmi berkata, bagaimanapun setakat ini, masih belum dapat dipastikan cebisan baju dan tulang berkenaan adalah milik siapa.

Katanya, operasi penemuan membabitkan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Minieral dan Geosains Malaysia.

LOKASI runtuhan batu kuari di Simpang Pulai, Mac lalu. FOTO arkib NSTP
LOKASI runtuhan batu kuari di Simpang Pulai, Mac lalu. FOTO arkib NSTP

"Selepas penemuan berkenaan kita menggerakkan operasi bagi mencari satu lagi bangkai jengkaut yang tertimbus dalam insiden terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:01 PM