Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Statistik daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menunjukkan peningkatan kes buli di sekolah sebanyak 42 kes sehingga Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia meningkat berbanding hanya dua kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.

"Pada dua tahun sebelumnya kita terbabit dengan pandemik dan sekolah di tutup sejak sekolah dibuka 42 kes dicatatkan pada tahun ini.

"Bagaimanapun jumlah kes itu juga masih terkawal kerana kes buli yang dilaporkan itu tidak begitu serius," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini pagi tadi.

Berkenaan program itu, Mohd Yusri berkata ia dilaksanakan secara serentak di 12 daerah yang mempunyai sekolah berasrama di negeri ini.

Katanya, program membabitkan sebanyak 30 sekolah terdiri daripada (3) Sekolah Kebangsaan, (26) Sekolah Menengah Kebangsaan dan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.

YUSRI (tiga kiri) beramah mesra bersama warden Asrama pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran
YUSRI (tiga kiri) beramah mesra bersama warden Asrama pada Program #KATAKAN TIDAK KEPADA BULI di Sekolah Menangah Kebangsaan Anderson Ipoh. FOTO L Manimaran

"Inisiatif pelancaran program ini dijalankan berikutan daripada peningkatan kes buli di sekolah.

"Program ini dilaksanakan bagi membendung kejadian buli membabitkan pelajar sekolah di asrama khasnya di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, selain itu program bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar mengenai akibat sekiranya terbabit dalam kesalahan jenayah dan buli mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan sekolah.

Menurutnya, program membabitkan kehadiran pegawai dari pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan JPN Perak.

"Di peringkat daerah, program ini diketuai oleh Ketua Polis Daerah, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah dan juga Pegawai Perhubungan Sekolah.

"Bagi pihak JPN pula, program ini disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, pegawai JPN negeri dan daerah serta exco asrama sekolah terbabit," katanya.

Katanya, sehubungan itu adalah diharapkan pelaksanaan program akan diteruskan bagi memastikan aktiviti buli di sekolah di negeri ini dapat dibendung sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 10:38 AM