Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua mangsa yang maut tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ia mengambil masa yang agak lama bagi mendapatkan hasil keputusan DNA terutama bagi sampel yang berada di luar negara untuk pengesahan identiti.

"Ia memang mengambil masa kerana sampel yang diambil daripada di sana (waris luar negara) akan dianalisa DNA.

"Laporan itulah yang akan di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk dibandingkan dengan DNA (penemuan rangka manusia).

"Biasanya kita mengambil masa dua bulan daripada tarikh penghantaran sampel itu," katanya ditemui media pada Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Simpang Pulai di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Pusat Rekreasi Lubuk Timah Datuk Fadzil Akhma Mohd Yusoff dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Sosial Sukan dan Kebudayaan Kinta P Uvarajan.

Program anjuran IPD Ipoh dengan kerjasama Pusat Rekreasi Lubuk Timah, beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu disertai kira-kira 600 peserta terdiri daripada anggota, pegawai, keluarga dan bekas polis.

YAHAYA ditemui media pada Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), IPD Ipoh di Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Simpang Pulai. FOTO Balqis Jazimah Zahari
YAHAYA ditemui media pada Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), IPD Ipoh di Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Simpang Pulai. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Yahaya berkata, sehingga kini. pihaknya masih menunggu keputusan laporan DNA kedua-dua waris mangsa berkenaan untuk dibandingkan dengan penemuan cebisan rangka ditemui.

"Setakat ini, kita baru menerima sampel waris daripada mangsa Orang Asli (Itam Lasoh, 43) dan kita sudah menghantar sampel itu ke Jabatan Kimia di Pulau Pinang.

"Sementara itu, seorang lagi mangsa (Kheow Loo Siew Soon, 49), kita masih menunggu laporan DNA daripada hospital di luar negara," katanya sambil memaklumkan cebisan rangka manusia masih berada di HRPB.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang menunggu laporan padanan sampel DNA keluarga seorang daripada dua mangsa yang maut tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai 8 Mac lalu yang kini berada di luar negara.

Terdahulu, cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa tertimbus itu dihantar ke Jabatan Forensik HRPB.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada jam 9.15 pagi itu menyebabkan Itam dan Loo Siew Soon tertimbus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 12:55 PM