Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur tiba di lokasi bagi mengesan lokasi satu lagi jengkaut dan mangsa yang tertimbus dalam insiden batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Penolong Pengarah Operasi, JBPM Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, susulan daripada penemuan baharu operasi diteruskan dengan kerja-kerja pencarian yang dikatakan mangsa kedua dipercayai tertimbus dalam insiden terbabit.

Katanya, difahamkan cebisan tulang yang ditemui sudah dibawa keluar dari lokasi operasi berkenaan.

"Strategi kita kini adalah menggunakan khidmat dua anjing pengesan K9 dari Kuala Lumpur untuk mengenal pasti lokasi mangsa seterusnya.

"Unit K9 sudah tiba, namun buat masa ini kita hentikan dahulu kerana kemungkinan ada dua letupan di bahagian belakang bukit selepas itu baru anjing pengesan dibawa masuk bagi meneruskan operasi pencarian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, pada ketika ini kerja-kerja pengorekan untuk bangkai jengkaut yang ditemui masih diteruskan sehingga mendapat petunjuk 'spot' seterusnya daripada unit K9.

Berkenaan penemuan berkenaan, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam kira-kira 10.20 pagi daripada polis dari Simpang Pulai yang mengatakan pihak kuari menemui bangkai jengkaut.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan juga Bahagian Operasi JBPM negeri Perak bergerak ke lokasi bagi mengenalpasti keadaan di lokasi.

"Setibanya di lokasi kita mendapati memang benar terdapat bangkai jengkaut di lokasi kejadian," katanya.

ANGGOTA polis membawa mayat mangsa yang ditemukan hari ini dikhuatiri tertimbus di dalam kejadian runtuhan batu kuari. FOTO L Manimaran
ANGGOTA polis membawa mayat mangsa yang ditemukan hari ini dikhuatiri tertimbus di dalam kejadian runtuhan batu kuari. FOTO L Manimaran

Mengulas lanjut, beliau berkata, penemuan cebisan dipercayai milik salah seorang mangsa ditemui ketika kerja pemindahan bangkai jengkaut pertama ditemui.

"Selepas penemuan bangkai jengkaut, kita juga membuat kerja pengorekan dan turut menemui cebisan kain, selain ada bau, rambut dan apabila kita pergi ke lokasi kita mengenal pasti ada cebisan tulang.

"Penemuan tulang berkenaan betul-betul berhampiran lokasi jengkaut. Dipercayai cebisan tulang milik mangsa sehingga perkara mendapat pengesahan dari forensik," katanya.

Menurutnya, lokasi penemuan terbaharu itu adalah kira-kira 25 meter jarak dari lokasi yang dijangkakan sebelum ini.

"Bangkai jengkaut ini berada di penghujung bukit yang satu lagi, ini bermakna berkemungkinan jengkaut dibawa oleh runtuhan berkenaan sehingga ke bukit satu lagi," katanya.

Katanya, setakat ini seramai 5 pegawai dan sembilan anggota dari BBP Simpang Pulai dan Bahagian Operasi JBPM Perak ditugaskan bagi menjalankan operasi pencarian.

"Kita juga akan menempatkan anggota di lokasi untuk meneruskan lagi operasi dalam beberapa hari ini," katanya.

Hari ini media melaporkan, jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan hari ini di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus di dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 5:15 PM