ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan rangka manusia kedua yang tertimbus akibat runtuhan itu. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan rangka manusia kedua yang tertimbus akibat runtuhan itu. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Hujan menyebabkan operasi membawa keluar keseluruhan cebisan rangka kedua tulang manusia dipercayai mangsa insiden runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan esok.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, sebahagian daripada cebisan rangka berkenaan bagaimanapun sudah berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada polis sebelum operasi ditangguhkan kira-kira 3 petang tadi susulan hujan.

Beliau berkata, operasi disambung semula jam 8 pagi esok tertumpu kepada usaha pencarian sisa-sisa rangka yang masih tinggal.

"Sebahagian daripada rangka berkenaan sudah dibawa keluar, cuma esok operasi disambung semula untuk buat pencarian kalau (masih) ada sisa-sisa (rangka) lagi memandangkan cuaca pada petang ini tidak baik.

"Sebahagian rangka kedua yang dijumpai itu sudah diberi kepada polis dan sebahagian lagi sisanya akan dicari esok," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurutnya, sebahagian rangka yang sudah berjaya dikeluarkan hari ini diserahkan kepada polis jam 2.45 petang hari ini.

Terdahulu, Muhamad Shahrizal berkata, cebisan rangka kedua berkenaan ditemukan jam 12 tengah hari tadi berhampiran lokasi jengkaut kedua yang ditemui jam 5 petang semalam.

Bangkai jengkaut kedua itu ditemui di lokasi kejadian itu dengan jarak kira-kira tiga meter dari jengkaut pertama.

Dua mangsa dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari pada 8 Mac lalu dikenali sebagai Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 5:26 PM