AMINUDDIN  selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, semalam. - Gambar MOHD AMIN JALIL
AMINUDDIN selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, semalam. - Gambar MOHD AMIN JALIL
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Walaupun pernah diambil tindakan namun aktiviti penternakan babi haram muncul semula di sekitar pinggir Sungai Rambai Lukut dan Kampung Baru Site A Tanah Merah, Port Dickson.

Susulan itu kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas sekali lagi termasuk memusnahkan aktiviti penternakan babi haram yang dikesan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak berdiam diri dalam menangani isu terbabit kerana aktiviti itu dipercayai menjadi punca berlakunya pencemaran air Sungai Rambai Lukut.

Katanya, pihaknya sudah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terbabit selain bertemu dengan penduduk bagi mengatasi masalah penternakan babi haram di kawasan itu yang terus berlaku.

"Kita (kerajaan negeri) akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada dan sudah menghantar notis kepada pengusaha tentang pemakluman berlakunya aktiviti penternakan dan penyembelihan babi haram.

"Isu ini agak sensitif namun segala tindakan sudah diambil daripada agensi berkaitan termasuk dari Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pejabat daerah dan pihak berkuasa lain termasuk polis.

"Bagaimanapun, aktiviti penternakan babi haram di situ dilihat terus berlaku," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan Sungai Rambai sebagai satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Bakri Sawir, bersama Adun Lukut, Cho Ken Hwa dan Adun Chuah, Datuk Michael Yek akan sekali lagi menemui penternak babi berkenaan minggu depan.

Beliau berkata, mereka akan menasihati penternak terbabit supaya memindahkan semua ternakan yang ada di kawasan itu.

"Jika usaha berkenaan tidak memberi kesan baik, kita akan mengambil tindakan yang lebih tegas sehingga kepada memusnahkan semua ternakan berkenaan.

"Walaupun tindakan sebegitu mungkin tidak disukai namun kita memikirkan kepentingan umum dan itu yang harus kita tegaskan dan jika tindakan itu terpaksa dilakukan ia adalah tanggungjawab sebagai kerajaan.

"Ini untuk memastikan permasalahan umum rakyat dapat kita tangani dengan baik," katanya.

Tegas Aminuddin, sememangnya kawasan berkenaan dilarang menternak babi, malah penternak sendiri tidak berdaftar selain tidak mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Mereka membina kandang babi dan menternak secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 7:01 AM