GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Penduduk Kampung Batu Untung, Tanjung Layang, Bedford, Kampung Tumbuk dan Kampung Endah di sini, yang tinggal 'berjiran' dengan ladang babi sejak lebih dua dekad lalu mengharapkan perubahan.

Rata-rata penduduk menggesa pihak berwajib mengambil tindakan menyeluruh supaya isu pencemaran bau serta air kesan kewujudan ladang babi ini dapat dibendung.

Walaupun sudah lali dengan keadaan itu, namun penduduk tidak mahu kehidupan anak cucu mereka kelak terus dibelenggu pencemaran yang sengaja dilakukan pemilik ladang babi berlesen atau haram di kawasan itu.

Zainuddin Ismail, 56 yang berasal dari Kampung Tanjung Sepat berkata, penduduk akan melihat haiwan itu dibawa dari kandang di Tanjung Sepat, Tanjung Layang atau Tumbuk di sini, untuk disembelih dan dipasarkan di Shah Alam atau Kuala Lumpur.

"Lori yang bawa babi ini terlalu kerap berulang alik di jalan raya. Ramai yang terkena renjisan atau percikan air dari lori babi. Kita boleh nampak binatang itu sama ada hidup atau digantung selepas disembelih.

"Itukan najis mughallazah. Keadaan ini sudah lama berlarutan, sejak saya kecil. Tanjung Layang memang cukup kotor, kadang-kadang air dari ladang babi terus mengalir ke laut melalui sungai.

"Sungai dipenuhi najis babi, ladang pula sukar dipastikan berikutan ada berlesen dan ada tidak berlesen," katanya.

Malah katanya, dia juga pernah melihat babi yang mati dikumpulkan dibakar hingga mengeluarkan bau yang sangat busuk.

"Jika terhidu (bau busuk), kita akan tahu penternak sedang membakar babi yang mati. Bayangkan pencemaran bau yang dibawa ke kampung kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mispan Zaidin, 68, pula berkata, penternak babi tidak sepatutnya membiarkan air najis atau kumbahan babi mengalir ke sungai seterusnya ke laut kerana penduduk setempat juga menjadikan hasil laut sebagai rezeki mereka.

"Tak eloklah buat begitu, lepaskan air najis dan sisa babi ke laut sebab kami makan ikan serta hasil laut yang ditangkap.

"Saya harap penternak lebih sensitif dengan penduduk beragama Islam di kawasan ini... jaga persekitaran kawasan," katannya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hafiz bin Hasmani, 35, yang berasal dari Kampung Batu Laut pula berharap kandang babi yang sudah uzur tidak dibangunkan semula bagi mengelakkan aktiviti penternakan itu berterusan.

"Saya harap kandang lama tidak dibaik pulih dan mereka sepatutnya berada di tempat sesuai, jauh dari perkampungan penduduk terutamanya masyarakat Islam.

"Kami makin risau apabila mendapati semakin ramai penduduk bukan beragama islam menternak babi di belakang rumah. Kita tidak tahu sama ada berlesen atau tidak terutamanya di kawasan Batu Untung, "katanya. Katanya, apabila babi diternak di belakang rumah, timbul persoalan bagaimana pengurusan air kumbahan binatang itu dilakukan.

"Kita tidak menolak kemungkinan air kumbahan binatang ini terus masuk ke parit sekitar Sungai Batu Untung. Tidak hairanlah sungai menjadi mati akibat kesan pencemaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:12 PM