GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesan 73 ladang babi beroperasi tanpa lesen di seluruh negara dan dikenakan tindakan sejak 2021 sehingga hari ini.

Pengarah Penguatkuasa DVS Zaharinan Abd Aziz berkata, jumlah tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang sebanyak 67 ladang, Perak (1), dan Selangor (5).

"Untuk menternak babi penternak perlu mendapatkan lesen dan memenuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar.

"Ini penting bagi mengelakkan gangguan bau, kehadiran lalat, dan pelepasan sisa air kumbahan tidak terawat ke sumber air," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebanyak 123 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan dilakukan penternak babi di seluruh negara sejak tahun 2021.

Katanya, dalam tempoh itu sejumlah RM275,600 nilai kompaun keseluruhan dikeluarkan di seluruh negara atas kesalahan membabitkan ternakan babi.

"106 kompaun dikeluarkan membabitkan Pulau Pinang berjumlah RM195,500; Perak empat kes berjumlah RM27,000; Negeri Sembilan empat kes berjumlah RM19,300 dan sembilan kes di Selangor berjumlah RM32,500.

"Secara amnya, tindakan penguatkuasaan berkaitan penternakan babi sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa oleh DVS mengikut peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Penternakan Babi Negeri yang berkaitan," katanya.

Katanya, setiap negeri mempunyai enakmen berbeza berkaitan penternakan babi namun setiap penternak wajib mendapatkan lesen daripada DVS negeri berkenaan.

"Di peringkat negeri akan buat pemantauan dan yang akan keluarkan lesen. Sekiranya dalam tempoh pemantauan penternak berkenaan didapati melanggar syarat, tindakan akan diambil.

"Jabatan akan menjalankan siasatan lanjut sebelum tindakan saman atau kompaun dilaksanakan seperti yang diperuntukkan di dalam enakmen negeri berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:48 PM