TUAN Ibrahim (kiri) menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Hari Ozon Se Dunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bandar Gamuda Cove hari ini. FOTO  Samadi Ahmad
TUAN Ibrahim (kiri) menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Hari Ozon Se Dunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bandar Gamuda Cove hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Dengkil: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk memantau aktiviti penternakan babi di kawasan Sungai Rambai, Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sudah menerima laporan berkenaan aktiviti penternakan babi di kawasan sungai itu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"JPV perlu bertanggungjawab kepada peraturan yang dikuatkuasakan. Kami juga meminta kerajaan negeri untuk bersama-sama berusaha supaya aktiviti penternakan di kawasan itu dapat dipatuhi selain sumber air dapat dijaga.

"Oleh kerana lesen dikeluarkan JPV, mereka bertanggungjawab memantau perkara itu.

"Kita mahu tahap pencemaran kategori lima sungai ini dapat diturunkan," katanya pada sidang media Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bandar Gamuda Cove di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Sungai Rambai menjadi satu-satunya sungai tercemar yang berada pada Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan selepas laporan analisis makmal dibuat.

Air berwarna merah yang mengalir ke sungai itu dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi manakala di Sungai Rambai, berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tanah Merah Site A, ia tidak dapat dikesan, berkemungkinan ia sudah terurai.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dan JPV terus memantau isu itu dan berusaha ke arah melestarikan sungai terbabit.

Katanya, penternakan babi di kawasan itu melebihi jumlah dan semua pengusaha dinasihati memohon lesen sah.

"Kasa bertanggungjawab memastikan keadaan sungai ini sentiasa bersih dan akan mengadakan pemantauan berterusan agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dikeluarkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 2:50 PM