AMINUDDIN pada sidang media di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
AMINUDDIN pada sidang media di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Azzman Abdul Jamal


JAWATANKUASA khas ditubuhkan untuk menyiasat kegiatan penternakan babi dan katak yang beroperasi haram hingga menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir dan disertai beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Katanya, sebelum ini pihaknya mendapati terdapat satu aktiviti ternakan babi dikesan di sekitar kawasan itu dan ia dipercayai sudah beroperasi sejak 2004.

“Jawatankuasa khas ini akan mendapatkan maklumat terkini untuk pastikan kegiatan haram itu tidak mengganggu penduduk dan menggugat kemasukan pelancong ke Port Dickson.

“Isu ini dalam kawalan dan kita sedia maklum perkara ini berlaku sekian lama, jadi menerusi jawatankuasa ini, akan bincang lanjut sebelum mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Akhbar kelmarin melaporkan aktiviti ternakan babi dan katak dipercayai menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Baru Site C.

Penemuan itu berdasarkan siasatan dan pemeriksaan JAS negeri selepas menerima aduan pada 31 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kes pencemaran itu disifatkan tidak serius dan ia terletak jauh daripada lokasi tumpuan pelancongan, namun langkah segera diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana ia berlaku jauh daripada kawasan tumpuan pelancongan sedia ada. Sungai itu menghala ke Sungai Sepang dan kami akan pastikan ia dikawal dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:59 PM