Faizatul Akma (kanan sekali) menunjukan keadaan rumahnya yang usang. FOTO Paya Linda Yahya
Faizatul Akma (kanan sekali) menunjukan keadaan rumahnya yang usang. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Saat hujan lebat dan ribut, seorang ibu tunggal dan empat anak lelaki resah memikirkan keadaan rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, dekat sini, yang hanya menunggu masa untuk roboh selain atap yang bocor dan dinding kayu yang rosak.

Faizatul Akma Azmi, 34, berkata, walaupun rumah usang itu menanti masa untuk roboh, dia dan empat anak lelakinya yang berusia empat hingga 14 tahun tetap tinggal di situ selepas berpisah dengan suaminya tahun lalu.

"Ketika ribut dan hujan lebat turun, keadaan dalam rumah terutama di dapur akan basah akibat dinding yang bocor. Rumah ini turut rosak teruk pada bahagian dinding, lantai dapur dan bilik air.

"Anak saya pernah disengat lipan kerana rumah ini kerap dimasuki haiwan berbisa seperti ular berikutan keadaan dinding yang tidak sempurna. Saya pernah memohon bantuan untuk baik pulih rumah, namun sehingga hari ini masih tiada jawapan daripada pihak berwajib," katanya.

Faizatul Akma berkata, dia menyara keluarga dengan mengambil upah menjual pakaian sebanyak RM5 sehari, selain berniaga jualan gerai tepi jalan.

"Sejak empat bulan lalu saya mula membuka gerai di tepi rumah untuk menambah pendapatan, namun hasilnya masih belum dapat untuk membaiki rumah ini.

"Saya berharap ada pihak yang sudi tampil membantu membaik pulih rumah ini dan dapat kami hidup dalam keadaan lebih selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:48 PM