Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Kami enam beranak berpelukan dan ketakutan apabila bumbung rumah tiba-tiba terangkat dan diterbangkan angin kuat," kata Shahrul Hisham Saharin, 49, mangsa ribut yang melanda Kampung Tasek di sini, semalam.

Rumah sewa didiami Shahrul Hisham itu antara 105 rumah yang terjejas akibat ribut yang disusuli hujan lebat yang melanda kira-kira jam 3. 30 petang itu.

Menurut Shahrul Hisham, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu sebelum rumah tiba-tiba bergegar dan dinding kayu runtuh akibat angin kencang.

"Ketika itu saya tergamam apabila sebahagian besar dinding jatuh. Saya dan isteri peluk anak-anak termasuk seorang yang lumpuh separuh badan.

"Dalam keadaan basah kuyup akibat bumbung turut diterbangkan angin, saya melaungkan azan beberapa kali sebelum keadaan kembali tenang kira-kira 20 minit kemudian," katanya bapa kepada empat anak berusia 13 hingga 18 tahun itu.

Seorang lagi mangsa, Maimon Dollah, 59, berkata dia dan tiga anak serta suami terpaksa tidur di dapur selepas bumbung rumah mereka turut diterbangkan angin selain sebahagian dinding kayu rumah berkenaan roboh dalam kejadian itu.

Katanya, insiden turut menyebabkan banyak perabot di rumahnya termasuk empat unit almari kayu rosak akibat basah terkena hujan.

"Kami lima beranak terpaksa berbuka puasa dalam keadaan basah dan bermalam di sini kerana bimbang barangan hilang jika kami bermalam di tempat lain," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran berkata, pihaknya akan melihat keperluan penduduk kampung itu untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.

Katanya, sehingga kini satu pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek bagi menempatkan satu keluarga yang terjejas teruk akibat kejadian itu.

SHAHRUL menunjukkan keadaan rumah sewa yang didaminya selepas dipukul ribut angin kencang di Kampung Tasek, di sini, petang semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SHAHRUL menunjukkan keadaan rumah sewa yang didaminya selepas dipukul ribut angin kencang di Kampung Tasek, di sini, petang semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Bencana yang menimpa penduduk sangat teruk malah kita difahamkan ini kejadian paling buruk dihadapi mereka.

"Kita juga akan membuka kaunter bergerak sementara di kampung ini bagi membolehkan penduduk membuat sebarang aduan dan masalah berkaitan bencana ini," katanya selepas meninjau keadaan di kampung itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 3:28 PM