TANGKAP layar video menunjukkan sekumpulan lelaki menghalang lalu lintas. FOTO ihsan pembaca
TANGKAP layar video menunjukkan sekumpulan lelaki menghalang lalu lintas. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai mengiringi van mayat dan menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Pekan Meru yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai video 1 minit 05 saat itu, 10.43 pagi tadi.

"Siasatan mendapati, video yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebook memaparkan sekumpulan remaja tidak memakai topi keledar menaiki motosikal dan kereta mengiringi satu van mayat bertindak menghalang lalu lintas di lokasi itu.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Klang Utara membuat siasatan awal dengan mengesan dan akan memanggil penganjur untuk memberikan keterangan serta mengenal pasti suspek-suspek yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun pihaknya menafikan pembabitan kumpulan gangster dalam perarakan berkenaan seperti dakwaan di media sosial.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak lebih RM 5,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 3:12 PM