GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Shah Alam: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang peniaga yang dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki berparang di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar, dekat sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu dan hari ini di sekitar kawasan Kapar, Klang.

"Individu pertama yang ditahan pada Sabtu kini direman tujuh hari manakala permohonan reman bagi seorang lagi individu akan dibuat esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain isteri dan anak mangsa yang berada di lokasi kejadian, pihak polis juga sudah merakam keterangan seorang saksi baharu bagi membantu siasatan kes dipercayai bermotifkan dendam itu.

Menurut Vijaya Rao, usaha mengenal pasti serta mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan.

Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang peniaga berusia 38 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di hadapan bilik tidur rumahnya di Kapar dipercayai dibunuh sekumpulan individu berparang dan pistol renjat.

Mangsa didapati mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan dengan terdapat kesan tetakan pada bahagian kepala, kedua belah kaki, bahu dan tangan kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:39 PM