GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Klang: Lelaki ditahan di sekitar Bandar Baru Klang, di sini, semalam, kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas dengan melanggar motosikal anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, ia disedari anggota Unit Rondaan Cegah Jenayah yang melakukan rondaan yang ternampak terlihat dua lelaki menaiki dua motosikal Modenas Kriss berwarna hitam.

"Anggota cuba menahan kedua-dua individu untuk pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun, suspek bertindak agresif lalu melanggar hadapan motosikal anggota polis dan kenderaan orang awam yang diparkir di tepi jalan.

"Seorang daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Vijaya berkata, pihaknya masih mengesan rakan suspek berusia lingkungan 30-an yang meloloskan diri bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya di mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 8:55 PM