Ruwaida Md Zain


Klang: Polis Daerah Klang Utara mengesahkan remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya sejak Jumaat lalu sudah ditemukan di Hutan Melintang, Perak oleh keluarganya, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat, baik dan sihat.

"Siasatan mendapati, remaja perempuan yang mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) itu sudah tiga kali melarikan diri dari rumah sebelum ini.

"Bagi kes terbabit, remaja itu dipercayai melarikan diri ke rumah kawan untuk mencari ketenangan dan pulang semula ke rumah selepas dijumpai polis.

"Dalam kejadian terkini, polis berusaha mengesan mangsa yang pada mulanya dipercayai berada sekitar Ampang dan Damansara.

"Hasil maklumat awal, kini mangsa dijumpai di Hutan Melintang, Perak dalam keadaan baik dan sihat oleh keluarganya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Polis menerima laporan dari keluarga mangsa pada Sabtu lalu, 3.57 petang, berhubung kehilangan remaja itu.

Semalam, kakak remaja itu merayu bantuan orang ramai untuk mengesan adik perempuannya yang hilang dari kediaman mereka di Meru, Klang.

Nur Amira Natasya Noor Sazli, 20, berkata, keluarga bimbang keselamatan adiknya, Nur Adriana Natasya, 17, yang mesra dipanggil Yana itu selepas disedari hilang oleh ibunya kira-kira 5 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:57 PM