Mohd Roji Kawi

Kuching: Cuaca tidak menentu ketika ini menuntut pasukan penyelamat membuat persediaan rapi sepanjang masa berikutan perubahan musim di luar jangka yang dikhuatiri boleh mencetuskan keadaan banjir.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, kebimbangan itu terbukti apabila banjir berlaku di kawasan hulu Baram sejak Ahad lalu, walaupun biasanya pada bulan September, Sarawak menghadapi musim panas dan kering.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu bersedia sepanjang masa, kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk pada musim panas.

"Mengikut arahan untuk menghadapi monsun timur laut, keadaan cuaca pada bulan September ini sebenarnya adalah panas dan kering.

"Tetapi, apa yang berlaku sekarang ialah perubahan cuaca yang tidak dijangka dan kami di JBPM Sarawak sudah menggerakkan arahan kesiapsiagaan monsun timur laut seperti arahan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) serta ibu pejabat JBPM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Solidariti JBPM Sarawak Bersama Masyarakat yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, hari ini.

Menurut Khirudin, selain persediaan aset penyelamat, pihaknya juga bersedia membantu agensi lain untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan terjejas.

"Apabila banjir melanda kawasan hulu Baram termasuk pekan Marudi, kami menggerakkan helikopter serta bot untuk membantu JKM menghantar bekalan makanan kepada penduduk.

"Walaupun tiada pemindahan penduduk dijalankan, banyak penempatan terputus perhubungan," katanya.

Malah, katanya, helikopter JBPM yang berpangkalan di Miri sudah digerakkan sejak dua hari lalu bagi melaksanakan misi penghantaran bantuan selain meninjau keadaan banjir.

Menurutnya, banjir yang melanda penempatan penduduk di tebing sungai di kawasan hulu Baram sejak Ahad lalu berlaku akibat hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air laut pasang besar.

"Pemantauan petang semalam dan pagi ini mendapati paras air di pekan Marudi serta penempatan penduduk di hulu Baram sudah mulai surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:37 PM
SIM Kui Hian (dua kiri) Khiruddin (empat kiri) menghadiri Majlis Solidariti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak bersama Masyarakat di Bilik Seminar Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
SIM Kui Hian (dua kiri) Khiruddin (empat kiri) menghadiri Majlis Solidariti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak bersama Masyarakat di Bilik Seminar Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO Nadim Bokhari