Misi penghantaran bantuan makanan menggunakan tongkang dari Marudi ke kawasan Hulu Baram d ispeanjang Sungai Baram menggunakan tongkang. Foto Ihsan JBPM
Misi penghantaran bantuan makanan menggunakan tongkang dari Marudi ke kawasan Hulu Baram d ispeanjang Sungai Baram menggunakan tongkang. Foto Ihsan JBPM
Erika George

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengambil masa dua hari untuk menyusuri Sungai Baram bagi misi penghantaran makanan di 12 buah kampung dan rumah panjang di Baram.

Ia membabitkan 677 isi rumah yang terjejas banjir termasuk sebuah klinik kesihatan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi berkata, bantuan bekalan makanan itu dihantar dengan menggunakan sebuah tongkang penghantar barang dan bertolak pada 10.30 pagi hari ini.

"Misi penghantaran bantuan makanan ini turut disertai sembilan pegawai Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan dua kru kapal," katanya.

Menurutnya, misi penghantaran bantuan bekalan makanan mengambil masa yang agak lama disebabkan banyak tempat persinggahan ditambah lagi dengan faktor arus sungai deras dan agak berbahaya pada masa sekarang.

Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan faktor cuaca yang agak buruk pada masa sekarang yang mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak cukup berhati-hati semasa menyusuri sungai.

Bagaimanapun, katanya, atas faktor kemanusiaan, bantuan itu akan disalurkan dengan apa sahaja cara kerana jalan sungai merupakan satu-satunya akses paling senang menuju ke penempatan penduduk pada masa sekarang.

"Kita turut difahamkan bahawa beberapa batang jalan atau laluan menuju ke penempatan terjejas masih lagi ditenggelami air dan belum selamat untuk digunakan," katanya.

Bantuan itu akan diagihkan kepada penduduk di 12 penempatan di tebing Sungai Baram iaitu Rumah Panjang Vincent, Rumah Panjang Mugang, Rumah Panjang Jipun, Rumah Panjang Gerinang Logan Tasong, Lubok Kulat, Long Maro, Benawa, Kuala Tutoh, Long Patan, Long Pahlo, Long Ukok, Long Panai dan Klinik Long Panai.

Difahamkan, bahawa kesemua penempatan terbabit dilanda banjir sejak tiga hari lalu disebabkan limpahan air Sungai Baram selepas hujan lebat di kawasan hulu sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 2:18 PM