KHIRUDIN Drahman  (tengah, depan) meninjau kelengkapan dan persediaan menghadapi banjir di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan, 17 November lalu. FOTO Bernama
KHIRUDIN Drahman (tengah, depan) meninjau kelengkapan dan persediaan menghadapi banjir di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan, 17 November lalu. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sejumlah 349 lokasi seluruh Sarawak dikenal pasti berisiko dilanda banjir jika dilanda hujan lebat berterusan.

Daripada jumlah itu, Sibu menjadi kawasan berisiko tertinggi dengan 90 lokasi, diikuti Miri (78), Samarahan (61), Kuching (54), Limbang (30), Sri Aman (23) dan Bintulu (13).

Justeru, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mempersiapkan hampir 1,400 anggota termasuk 257 pegawai bomba bantuan (PBB) untuk menghadapi sebarang kemungkinan, susulan ramalan hujan lebat berterusan yang dijangka melanda mulai esok.

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, selain itu pihaknya turut mempersiapkan 56 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dengan kekuatan seramai 2,349 anggota serta pasukan Bomba Komuniti seramai 8,624 anggota.

Menurutnya, persediaan untuk tugas menyelamat mangsa banjir juga diperkemaskan dengan bantuan 10,374 orang sukarelawan daripada 57 Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) serta 820 ketua masyarakat serta penduduk yang mendapat pendedahan berhubung aspek penyelamatan yang dilatih menerusi program 'summer camp'.

"Dengan kekuatan pegawai dan anggota sedia ada selain penambahan anggota sukarelawan yang terlatih, JBPM Sarawak sentiasa bersedia menghadapi banjir yang dikhuatiri berlaku akibat hujan lebat.

"Selain kawasan-kawasan yang memang sudah dikenal pasti berisiko dilanda banjir, JBPM Sarawak turut bersedia untuk menggerakkan anggota serta aset ke kawasan yang tidak dijangka," katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan berterusan di timur Johor, timur Sabah dan barat Sarawak bagi tempoh Selasa hingga Khamis ini susulan luruan monsun.

Luruan monsun adalah angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Khirudin berkata, bagi memastikan kelancaran operasi penyelamatan, JBPM Sarawak turut memperkemaskan logistik yang boleh digerakkan di semua keadaan muka bumi.

Menurutnya, logistik itu merangkumi 16 lori, 67 pacuan empat roda, 37 bot penyelamat, sebuah helikopter, 18 kenderaan EMRS serta menubuhkan tiga pangkalan hadapan wilayah (RFB) iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.

Selain itu katanya, JBPM Sarawak turut menyediakan 38 tempat pendaratan helikopter di 22 daerah bagi pelaksanaan tugas pemindahan mangsa banjir, penghantaran bantuan atau sebarang kes kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 3:00 PM