MIRI 12 SEPTEMBER 2021. Banjir termenung yang melanda pekan Marudi menyebabkan 36 penduduk masih ditempatkan di PPS. NSTP/IHSAN JBPM
MIRI 12 SEPTEMBER 2021. Banjir termenung yang melanda pekan Marudi menyebabkan 36 penduduk masih ditempatkan di PPS. NSTP/IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Miri: Seramai 36 penduduk daripada 11 keluarga di Baram masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir termenung sejak 10 hari lalu.

PPS terbabit ialah Dewan Suarah Marudi yang dibuka sejak 4 September lalu dan kini masih menempatkan 23 mangsa daripada lapan keluarga.

Satu lagi PPS yang masih aktif ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan yang dibuka sejak 5 September lalu dan kini menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pemantauan di beberapa lokasi sekitar pekan Marudi pagi ini menunjukkan paras air masih bertahan.

Beliau berkata, ia dipercayai disebabkan hujan yang masih berlaku di beberapa kawasan hulu Sungai Batang Baram selain air pasang besar di laut.

"Ini yang menyebabkan pekan Marudi kini mengalami banjir termenung apabila air dari beberapa kawasan menurun terlalu perlahan," katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan mula menunjukkan petanda baik hari ini apabila jalan raya boleh dilalui kenderaan.

"Pemantauan di beberapa kampung serta pengkalan feri Ridan mendapati jalan utama sudah boleh dilalui apabila air menurun sedikit demi sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:25 AM