ANTARA kawasan terjejas di Marudi. FOTO Ihsan APM
ANTARA kawasan terjejas di Marudi. FOTO Ihsan APM
Mohd Roji Kawi


KEADAAN banjir di Marudi tidak banyak berubah, hari ini, dengan air masih membanjiri kawasan pekan kampung yang terletak di tebing Sungai Baram.

Sehingga pagi ini, sembilan penduduk dari dua keluarga yang tinggal di Kampung Padang Kerbau masih di tempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Suarah Marudi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, penduduk terbabit dipindahkan sejak 4.45 petang, semalam.

Beliau berkata, pemindahan mangsa ke PPS itu dibuat berikutan paras air mencecah ke lantai rumah dan rumah berkenaan mempunyai ramai kanak-kanak.

Selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi turut membantu memindahkan mangsa ke PPS.

Difahamkan, pekan Marudi serta perkampungan berdekatan dinaiki air akibat limpahan Sungai Baram selepas hujan lebat melanda kawasan hulu sungai sejak beberapa hari lalu.

Antara penempatan penduduk yang terjejas ialah Kampung Padang Kerbau, Kampung Narum, Kampung Ridan dan Kampung Dagang.

Ismail berkata, pemantauan terus dijalankan dan jika keadaan air didapati semakin naik, pihaknya akan mengarahkan lebih ramai penduduk untuk dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 11:12 AM