ANGGOTA bomba  menempuh perjalanan selama dua jam menaiki bot untuk memindahkan mangsa banjir di Marudi. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menempuh perjalanan selama dua jam menaiki bot untuk memindahkan mangsa banjir di Marudi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Miri: Anggota bomba terpaksa menempuh arus deras Sungai Batang Baram ketika menaiki bot untuk memindahkan 12 mangsa banjir di Rumah Panjang Vincent di Tanjung Opar yang jaraknya 60 kilometer dari pekan Marudi, petang semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, semua mangsa daripada tiga keluarga itu terpaksa dibawa ke Marudi berikutan ketiadaan pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Beliau berkata, mangsa banjir terbabit kemudiannya ditempatkan di PPS Dewan Suarah Marudi yang dibuka 7 malam tadi.

"BBP Marudi menerima panggilan pada 3.30 petang yang memaklumkan keadaan banjir di rumah panjang terbabit semakin buruk.

"Sejurus menerima panggilan itu, tiga anggota terpaksa mengharungi arus deras sepanjang 60 kilometer selama hampir dua jam sebelum tiba di rumah panjang itu pada jam 5 petang," katanya.

Susulan pemindahan penduduk rumah panjang itu, jumlah mangsa banjir di utara Sarawak meningkat kepada 78 orang daripada 15 keluarga.

Terdahulu, 66 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Darussalam, Long Lama yang dibuka sejak Jumaat.

Sementara itu, pekan Marudi turut dilanda banjir akibat limpahan Sungai Batang Baram selepas hujan lebat di hulu sungai.

Banyak premis perniagaan di pekan berkenaan dilaporkan dinaiki air selepas banjir mula melanda malam tadi.

Keadaan di penempatan penduduk di kawasan hulu sungai berkenaan juga dikatakan tidak banyak berubah kerana paras air masih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 3:52 PM