LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Motosikal dinaiki empat beranak yang terbabit dalam kemalangan maut dengan sebuah lori di Jalan Kampung Semanggar Dalam di sini, petang tadi, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC 135 itu dari arah Kota Tinggi ke Kampung Semanggar Dalam sebelum bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.20 petang membabitkan motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 39 tahun dan dibonceng isterinya berusia 27 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia lima tahun dan sembilan bulan.

"Kemalangan juga membabitkan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah Kota Tinggi menghala ke Kampung Semanggar Dalam itu gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, penunggang dan semua pembonceng motosikal cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu lori tidak ditahan dan hasil semakan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik," jelasnya.

Berita berkaitan:

  • Bayi antara empat beranak maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 7:57 PM