LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Latihan dan asas ketenteraan membantu Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang pada 18 Jun lalu untuk bertahan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan latihan dan pengetahuan yang ada pada anggota berkenaan membantu dia untuk kembali.

"Saya yakin segala latihan dan pengetahuan yang ada pada beliau banyak membantu untuk dia bertahan dan berusaha kembali.

"Berhubung dengan siasatan punca kehilangan anggota tentera berkenaan, siasatan terperinci masih dijalankan, "katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini Muhammad Hafizuddeain dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak terdapat elemen mistik dalam kehilangan anggota tentera terbabit.

"Pada kita di luar sini, tempoh dia (Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim) hilang adalah lama iaitu 19 hari, namun dia kata dia hanya hilang dua hari, "katanya.

Menceritakan kembali pengalaman yang dialami anggota terbabit beliau berkata, selama 'dua hari' hilang itu, Muhammad Syafiq berusaha mencari jalan untuk kembali ke pasukan dengan menyusuri jalan-jalan yang dilaluinya sebelum ini namun gagal.

Justeru itu, Muhammad Syafiq cuba bertahan selama tempoh itu sehingga dia dapat menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga berjaya menemui lokasi Pangkalan Operasi Hadapan atau Forward Operating Base (FOB) Jabatan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada 6 Julai lalu.

"Realitinya, kita tak boleh nafikan. Macam mana canggih pun kita dalam bidang sains dan teknologi, akan ada elemen mistik, itu kita kena percaya cumanya sukar untuk dibuktikan.

"Sebab itu, dalam usaha pencarian ini kita telah menggunakan pelbagai pendekatan iaitu secara konvensional dengan menggunakan teknologi yang ada dan sebagainya dan pada masa sama menggunakan cara-cara tradisional,"katanya.

Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi pada Sabtu selepas 17 hari operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:53 PM