KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung kereta di Kilometer 75 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Taman Keliang, Kalumpang, di sini, 7.48 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kedua-dua mangsa berusia 18 tahun dalam perjalanan dari Kerling ke Proton City, Tanjung Malim.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba, kereta itu berlanggar dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Motosikal itu juga dipercayai masuk ke laluan kereta dan bertembung," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Arsad berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 12:59 PM