TERTUDUH (dua kanan)di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH (dua kanan)di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pembantu kedai runcit didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan melanggar dua penunggang motosikal hingga mati, tahun lalu.

Tertuduh, Yong Sang Kein, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di atas jalan raya di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kemalangan terhadap dua penunggang motosikal, Iman Nur Azrin Noriman, 18, dan Nurul Rahimah Abdull Samad,32, sehingga mengakibatkan kematian kedua-dua mangsa di Jalan Pulau Gadong, kira-kira 8.30 pagi, 17 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 1999.

Jika disabitkan tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama minimum 10 tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Nur Alia Safri bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta menyara ibu dan kakaknya.

Majistret Khairunnisak menetapkan tertuduh dijamin RM5,000 dan mengarahkan lesen Kelas D miliknya digantung hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:52 PM