GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemilik akaun TikTok ditahan polis kerana disyaki terbabit kes ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh media sosial, Rajeswary atau lebih dikenali di TikTok sebagai Esha.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek kedua berusia 44 tahun itu ditahan pada 6.30 petang semalam.

"Suspek yang juga pemandu lori terbabit ditahan di sekitar kawasan Setapak.

"Kes ittu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil," katanya.

Selain itu, katanya, suspek pertama membabitkan wanita berusia 35 tahun yang ditahan sebelum ini dilanjutkan reman dua hari lagi.

Terdahulu, media melaporkan sembilan individu sudah dirakam keterangan berhubung ugutan dan ancaman terhadap Esha.

Ahmad Sukarno dilaporkan berkata, ia bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat mangsa pada minggu lalu sebelum mangsa ditemui meninggal dunia pada 5 Julai lalu.

Sebelum itu, polis menerima laporan pada 4.13 petang 4 Julai lalu daripada seorang lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan diterima mangsa itu di aplikasi TikTok.

Laporan dibuat berhubung dua akaun TikTok mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary.

Kedua-dua akaun TikTok berkenaan menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun media sosial suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:38 PM