Keadaan motosikal dua remaja yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Keadaan motosikal dua remaja yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Nor Raidah Awang


DUA remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Perak, Taiping, 9.20 malam tadi.

Abd Rasyid Rosidi, 16, dan Mohd Saharudin Sahrol Azman, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal yang ditunggang pelajar itu.

"Siasatan awal mendapati Abd Rasyid menunggang dari arah Anak Kurau menuju arah Batu Kurau, Taiping dan Mohd Saharudin pula dari arah bertentangan.

"Kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal itu bertembung. Kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah di badan dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 11:55 AM