AZEEM bertemu dengan CDM Paris, Datuk Hamidin di MSN. -FOTO Bernama
AZEEM bertemu dengan CDM Paris, Datuk Hamidin di MSN. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun bakal bersaing dengan jagoan pecut dunia, Muhammad Azeem Fahmi tidak perlu terlampau menghormati lawannya apabila membuat penampilan sulung dalam acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik.

Azeem, 20, yang layak atas tiket 'wild card' di Paris 2024 berkata, semua atlet memiliki peluang sama rata dan ia bergantung pada prestasi ketika hari pertandingan.

"Saya sudah berlari di Kejohanan Dunia (Hungary), Sukan Asia (Hangzhou)...saya berlari dengan antara pelari pecut terpantas dunia. Bagi saya, pada tahap ini, semuanya ada peluang sama rata," katanya.

Ujar pelari kelahiran Perak itu, pengalaman berlari di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou tahun lalu membuatkan dia tidak berasa gentar untuk bersaing dengan jaguh pecut dunia yang lain di temasya terbesar dunia itu.

"Ia lebih kepada siapa yang boleh pamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.

"Macam saya lari di Kejohanan Dunia pun ada ramai atlet yang lari 9 saat (s) dalam saringan saya dan pada masa yang sama ada juga yang buat 10.2s, saya juga buat 10.2s masa itu," katanya.

Tambahnya, ia bergantung kepada apa yang dia rasa pada hari pertandingan, sejauh mana tahap keyakinan seseorang dan tahap keselesaan pada hari itu.

"Jadi, saya tidak letak sasaran untuk berlari dengan sesiapa pun kerana saya pergi ke Olimpik berlari menentang diri saya sendiri," kata Azeem ketika ditemui selepas menerima kunjungan Chef de Mission (CDM) ke Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

Pada tahun lalu, dia diberikan tiket 'wild card' untuk beraksi di Kejohanan Dunia dan mencatat masa 10.24s di pusingan kelayakan namun catatan 10.26S yang dilakukan di pusingan pertama selepas gagal melayakkannya ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berjaya menebus kekecewaan itu apabila memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou dengan catatan 10.11s.

Dia berada di belakang atlet China, Xi Zhenye yang muncul juara dengan catatan 9.97s dan pelari Thailand, Puripol Boonson di tempat kedua dengan catatan 10.02s.

Di Olimpik Paris, Azeem berpeluang berlari dengan juara bertahan dari Itali, Marcell Jacobs dan bintang sensasi AS yang juga juara dunia, Noah Lyles.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:53 PM