KAKITANGAN Yayasan Sabah berkumpul di kawasan selamat selepas berlaku gegaran akibat kesan gempa bumi di Mindanao, Filipina, pagi tadi.
KAKITANGAN Yayasan Sabah berkumpul di kawasan selamat selepas berlaku gegaran akibat kesan gempa bumi di Mindanao, Filipina, pagi tadi.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Beberapa bangunan tinggi di sekitar bandar raya ini dilapor mengalami gegaran dipercayai kesan gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina pada jam 10.13 pagi tadi.

Antaranya Menara Tun Mustapha, Menara Kinabalu, Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Wisma Wanita.

Semua kakitangan serta orang awam yang berada di bangunan berkenaan kemudian keluar dan berkumpul di kawasan selamat.

Pegawai Audio Visual Bahagian Komunikasi Korporat, Kumpulan Yayasan Sabah di Menara Tun Mustapha, Azli Mohd Abu Bakar berkata, ketika kejadian dia bersama rakan sekerja berada di pejabat di tingkat 15.

Katanya, gegaran itu dirasai selama hampir 10 saat sebelum bergegas turun bersama rakan sekerja yang lain.

"Masa itu, sedang menyiapkan tugasan di pejabat di tingkat 15, tiba-tiba terasa goyang... ingatkan saya pening tapi beberapa barang di atas meja bergoyang.

"Rakan saya terus memberitahu gempa bumi, menyebabkan kami bergegas keluar dari bangunan ke kawasan selamat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas 40 minit dan keadaan terkawal, semua kakitangan naik semula ke pejabat dan pengarah memaklumkan untuk pulang awal sebagai langkah keselamatan.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa terbabit dikesan berlaku pada koordinat 6.1° Utara dan 123.3° Timur dengan magnitud 6.6 iaitu pada jarak 154 kilometer bahagian Tenggara dari Isabela City, Filipina.

Gegaran pada kedalaman 632 kilometer itu boleh dirasai di sekitar Sabah dan Labuan, namun tiada ancaman tsunami.

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan berkenaan gempa diterima pada jam 10.40 pagi.

Katanya, tiga pasukan bomba bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke beberapa bangunan sekitar ibu negeri bagi menjalankan pemantauan.

"Antara bangunan yang dipantau termasuklah DBKK, Wisma Wanita serta Menara Kinabalu serta beberapa bangunan berhampiran.

"Semua kakitangan serta orang awam yang berada di dalam bangunan sudah keluar ke luar bangunan dan berkumpul di kawasan selamat.

"Pasukan bomba kemudian menjalankan rondaan dan pemantauan keselamatan di kawasan berisiko di bangunan tinggi sekitar Jalan Kobusak, Lido, Jalan Kepayan RTM dan Jalan Pintas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, pada masa sama, pihak bomba juga menjalankan pemantauan dan pengungsian bangunan di beberapa daerah termasuk, Penampang, Tawau, Sandakan, Ranau dan Kota Belud.

"Rondaan dan pemantauan dijalankan di kawasan Pesisir Pantai Sim-Sim ke Jalan Batu Sapi, kawasan Bandaran Sandakan dan bangunan PDRM serta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

"Rondaan dan pemantauan keselamatan turut dilakukan di pekan Ranau dan bangunan Persekutuan Ranau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:01 PM