TINJAUAN stok minyak masak di pasaraya Lotus's Sungai Jernih. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN stok minyak masak di pasaraya Lotus's Sungai Jernih. FOTO Eizairi Shamsudin
Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Rata-rata pasar raya sekitar ibu negara mengalami kehabisan stok bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) di samping minyak masak botol lima kilogram turut mengalami kekurangan stok bekalan.

Tinjauan di beberapa pasar raya di sini hari ini mendapati minyak botol 5 kilogram bersubsidi mengalami kekurangan stok dan minyak masak paket satu kilogram habis dijual.

Seorang pekerja di sebuah pasar raya yang enggan dikenali berkata, sejak akhir-akhir ini bekalan minyak memang kekurangan stok selain pembekal juga tidak menghantar bekalan.

"Setiap kali ada bekalan baru yang sampai, memang cepat habis stok, jadi yang tinggal sekarang hanya yang ada di rak," katanya ketika ditemui.

Pengguna, Jasmine Chang, 50, berkata, sebagai pengguna beliau akhir-akhir ini mendapati minyak tidak kira sama ada minyak masak botol mahupun paket banyak yang habis stok.

Katanya, beliau biasa membeli minyak masak botol jenama Buruh berisi padu 5 kilogram.

"Tapi, saya dapati hari ini minyak masak itu sudah kehabisan stok. Jadi, saya terpaksa pergi ke kedai runcit atau pasar raya berhampiran yang lain," katanya.

"Jika kerajaan dapat kekalkan subsidi minyak, sudah tentu rakyat akan gembira dan tidak terbeban terutamanya golongan peniaga.

"Jika kerajaan masih berhasrat untuk memansuhkan juga subsidi minyak, maka lepas ini saya kena jarang keluar rumah dan masak sendiri," katanya.

Seorang lagi pengguna yang juga pekerja swasta, Mahawi, 60, berkata beliau tidak begitu terkesan dengan pemansuhan minyak masak dalam botol kelak kerana beliau menggunakan jenama Matahari iaitu minyak masak yang tidak bersubsidi.

Namun, beliau berkata, ramai peniaga yang pasti terkesan jika pemansuhan subsidi minyak botol dilaksanakan disamping sekarang juga rata-rata pasar raya pun mengalami kekurangan minyak masak dan ia menjadi beban kepada peniaga.

"Baru-baru ini saya ingin membeli karipap di sebuah gerai yang saya biasa pergi. Saya terkejut sebab mereka kata tiada karipap yang dijual kerana tiada minyak masak," katanya.

Tinjauan hari ini juga mendapati rata-rata pasar raya mengehadkan pembelian minyak masak botol kepada dua botol setiap keluarga.

Sementara itu, kesemua harga bagi minyak masak bersubsidi masih dalam kawalan walaupun banyak jenama yang semakin kekurangan stok.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan mengumumkan, subsidi minyak masak tulen botol akan dimansuhkan mulai 1 Julai.

Katanya, ia bagi memastikan bekalan bahan makanan itu dalam pasaran lebih stabil dalam jangka panjang, selain bertujuan menstabilkan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:17 PM