Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff menunjukkan bekalan minyak masak yang berkurangan di kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff menunjukkan bekalan minyak masak yang berkurangan di kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bekalan minyak masak bersubsidi di tiga daerah di Kedah didakwa berkurangan menyebabkan orang ramai terutama peniaga makanan berdepan masalah.

Antara daerah yang terjejas teruk adalah di Kota Setar, Pendang dan Langkawi manakala daerah lain turut mengalami masalah sama.

Tinjauan di beberapa kedai runcit sekitar Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini mendapati bekalan minyak masak paket itu hanya dijual satu atau dua bungkus kepada setiap pelanggan.

Peniaga, Fauzi Sharif, 60, berkata peniaga terpaksa mendapatkan bekalan minyak masak paket walaupun agak sukar diperolehi.

Menurutnya, kekurangan minyak masak paket ini berlaku sejak minggu ini dan dia terpaksa mengehadkan pembelian kepada pengguna setiap hari.

Katanya, dia hanya memperoleh kuota daripada pemborong sebanyak 200 bungkus dalam tempoh sebulan, dan ia tidak mencukupi.

"Saya tak boleh jual lebih sebab bimbang stok (minyak masak) habis dan terpaksa hadkan pembelian dua bungkus untuk seorang pengguna," katanya ketika ditemui hari ini.

Azizah Said, 60, berkata dia hanya memperoleh bekalan minyak masak bersubsidi sebanyak 10 bungkus (10 kg) dan pembekal mendakwa tiada stok jika mahu menambahnya.

"Saya akan jual sampai habis dan sudah buat tempahan lagi tapi dimaklumkan minyak masak paket sudah tiada," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan kesukaran mendapatkan minyak masak bersubsidi daripada pengguna di tiga daerah yang terjejas sejak Khamis lalu.

Katanya, hasil tinjauan di daerah ini mendapati, bekalan minyak masak bersubsidi sukar diperolehi sejak 1 Januari lalu.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB (Bersyarat) dan PKPP (Pemulihan), ramai pengguna membeli minyak masak paket kerana pendapatan mereka terjejas.

"CAKE berharap pihak berkuasa melakukan pemantauan supaya dapat menyelesaikan masalah ini bagi mengelakkan pengguna terbeban," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan kekurangan bekalan minyak bersubsidi di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya hanya menerima aduan mengenai kenaikan harga minyak masak botol daripada pengguna.

"Namun, kita akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan menghantar pegawai untuk menyiasat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:42 PM