Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tinjauan di kedai runcit dan pasar raya besar di sekitar Plentong, Johor Jaya dan Iskandar Puteri mendapati berlaku terputus bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram.

Rak barang yang menempatkan minyak paket berkenaan kosong malah notis bekalan habis turut dipamerkan peniaga.

Peniaga kedai runcit di Plentong yang hanya mahu dikenali sebagai Jadirman, 22, berkata, stok minyak masak paket yang sering terputus bekalan dan tidak konsisten itu menyebabkan pengguna terutama golongan B40 kecewa selain mempertikaikan keadaan itu.

Katanya, dia turut bingung dengan ketiadaan stok bahan mentah itu sekali gus semakin sukar diperoleh walaupun sudah membuat pesanan kepada pembekal.

"Saya sudah puas dimarahi pengguna yang menuduh pekedai menyembunyikan minyak paket padahal, bekalan memang tiada walaupun sudah dipesan daripada pembekal.

"Kali ini sudah hampir dua minggu minyak paket tidak dihantar pembekal dan menjejaskan golongan B40 yang terpaksa membeli minyak botol yang lebih mahal untuk persediaan berbuka puasa.

"Saya memang mengehadkan pembelian hanya tiga paket minyak tetapi memang biasanya akan habis tidak sampai tiga hari. Pembekal juga menghantar bekalan yang tidak banyak berbanding dulu," katanya ketika ditemui.

Semalam, NSTP melaporkan minyak masak paket bersubsidi yang dijual dengan harga RM2.50 sekilogram, habis di beberapa lokasi bandar raya ini sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di Tampoi dan Pandan di sini, mendapati beberapa kedai dan pasar raya mendakwa kehabisan stok minyak masak paket berikutan permintaan yang tinggi dan bekalan yang tidak banyak.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam turut mengakui bekalan minyak masak paket terputus di beberapa cawangan pasar raya besar berkenaan.

"Minyak masak paket semakin sering terputus bekalan sejak tahun lalu. Bekalan yang diterima juga sudah tidak sebanyak dahulu menyebabkan beberapa cawangan kami cepat kehabisan stok.

"Ia menimbulkan persoalan kerana minyak masak mempunyai kuota yang ditetapkan kerajaan namun ia semakin ketara berkurangan kebelakangan ini. Pesanan dibuat juga dikurangkan pembekal yang mendakwa tidak cukup bekalan," katanya.

Peniaga, Jadirman menunjukkan ketiadaan stok minyak paket di kedainya di Taman Molek, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Peniaga, Jadirman menunjukkan ketiadaan stok minyak paket di kedainya di Taman Molek, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 2:38 PM