Siti Hajar (tengah) ketika menunggu proses bedah siasat mayat anak saudaranya, Muhammad Faris Haiqal Mohd Faizal di Bilik Forensik Hospital Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
Siti Hajar (tengah) ketika menunggu proses bedah siasat mayat anak saudaranya, Muhammad Faris Haiqal Mohd Faizal di Bilik Forensik Hospital Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham

Dungun: "Saya pelik, kali ini dia tidak mahu peluk saya dan tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami," kata Siti Hajar Shaifuddin, ibu saudara kepada Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal,14, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Kampung Talang Bukit Besi, malam tadi.

Muhammad Faris Haikal yang menunggang motosikal Honda EX5 maut selepas dirempuh sebuah kereta di tempat kejadian pada 8.45 malam.

Turut maut dua rakannya yang membonceng motosikal terbabit iaitu Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri dan Muhammad Salman Faris Samsu, masing-masing berusia 14 tahun.

Siti Hajar, 32, berkata, dia ada bertemu dengan mangsa semalam ketika pulang melawat anak saudaranya itu yang tinggal bersama ibunya, Norlida Ismail, 52, pada 3 petang.

"Sebelum bertolak pulang saya minta dia peluk saya namun kali ini dia tak berbuat demikian dan hanya sekadar buat 'mini love' kepada saya.

"Dia memang sering keluar bersama kawan-kawannya. Saya juga sempat berpesan supaya dia tidak nakal dan menjaga neneknya (Norlida) dengan baik," katanya.

Siti Hajar berkata, dia sangat sedih apabila mendapat berita anak saudaranya itu maut dalam kemalangan itu.

"Saya menerima perkhabaran itu dari ibu (Norlida) yang memaklumkan Faris Haikal terbunuh dalam kemalangan terbabit.

"Saya dan ibu menjaga arwah sejak dia berusia empat tahun dan selepas ibu bapanya bercerai, ibunya mengambil keputusan bekerja di Perak," katanya.

Katanya, Faris Haikal merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan abangnya berusia 16 tahun.

"Sebelum ini, mereka berdua tinggal bersama saya dan nenek mereka di Bukit Besi dan saya jaga mereka macam anak saya sendiri.

"Selepas berkahwin dua minggu lalu, saya mengikut suami dan tinggal di Kuala Terengganu dan tak sangka pertemuan kami petang semalam merupakan yang terakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 2:28 PM