Nazdy Harun


Kuala Berang: Setiap kali hujan, Siti Hajar Hassan paling bimbang kerana perlu segera memindahkan anak saudara yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar dan suaminya yang berpenyakit ke tempat selamat.

Rumah mereka di Kampung Kemat di sini, mudah dinaiki air apabila hujan lebat berterusan dan limpahan berlaku lagi semalam, yang menyebabkan terpaksa berlindung di tempat tinggi.

Siti Hajar, 63, berkata, dia terkejut melihat paras air meningkat secara mendadak selepas hujan lebat selama tiga jam dan segera mengangkat anak saudara, Siti Hawa Baharom, 35, yang terlantar ke ruang tengah rumah.

"Saya juga terpaksa menyelamatkan suami (Mohd Salleh, 67) yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi ke tempat lebih selamat.

"Ketika itu air sudah melimpah ke dalam rumah kira-kira 0.5 meter. Selepas kedua-duanya berada di lokasi selamat, saya bergegas pula menyelamatkan barangan bagi mengelak tenggelam. Hanya ruang tengah rumah sahaja yang selamat, tidak dinaiki air," katanya ketika ditemui.

Siti Hajar berkata, disebabkan rumahnya tidak jauh dari jalan utama, maka dia tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun tetap bersedia menghubungi pihak pengurusan kampung untuk bantuan.

"Saya tidak menyangka kejadian semalam berlaku dengan pantas dan setiap kali banjir, saya amat bimbangkan anak saudara yang hanya terlantar di atas tilam," katanya yang mengakui sangat penat berhadapan banjir yang berulang.

Dalam pada itu, anak saudaranya yang tinggal berhampiran, Hayati Baharom, 41, berkata, menjadi kebiasaannya untuk membantu Siti Hajar berpindah ke PPS apabila banjir, apatah lagi adiknya (Siti Hawa) tinggal bersama wanita itu.

Bagaimanapun, keadaan semalam agak kelam kabut dan tidak menyangka berlaku banjir kerana kebiasaannya limpahan berlaku apabila hujan lebih lama.

"Air mula surut pagi tadi dan kami terpaksa membersihkan pula rumah yang ditenggelami banjir dan lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 4:20 PM