SULTAN Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1444H Kepada As'ad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1444H Kepada As'ad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak, Datuk As'ad Awang, 65, yang juga bekas guru dan pensyarah Bahasa Arab dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1444 Hijrah.

Bapa kepada enam anak itu dianugerahkan penghargaan itu atas khidmat bakti serta jasa dalam pembangunan intelektual ummah khususnya di Perak.

Ia termasuk usaha penterjemahan buku dari Bahasa Arab ke bahasa ibunda selain merangkul pelbagai jawatan serta tugas sama ada di peringkat daerah mahupun negeri.

Anugerah Khas Ar Ridzuan pula dianugerahkan kepada Setiausaha Masjid Jamek Pengkalan Hulu yang juga pesara guru, Sirat Abdullah, 61, atas inisiatif gigih beliau menjayakan konsep 'Masjid dalam Kebun' sebagai cara memperoleh hasil dana bagi kegunaan operasi masjid.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 H Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Kedua-dua anugerah itu masing-masing melayakkan penerimanya membawa pulang wang sumbangan kerajaan Perak berjumlah RM15,000, pakej menunaikan umrah RM7,000 dan sijil.

Selain dua anugerah itu, turut disampaikan oleh Sultan Nazrin ialah Anugerah Belia kepada penuntut terbaik Malaysia dan kesembilan dunia dalam peperiksaan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA) bagi sesi Mac 2021, Siti Naziah Mohamad Naziq dari Taiping.

Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik; Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik; Anugerah Usaha Tani Sekolah Terbaik; Anugerah Usaha Tani Masjid Terbaik.

Terdahulu, Sultan Nazrin turut menyampaikan titah diraja baginda bertajuk 'Keselamatan Makanan: Penghijrahan Visi - Penghijrahan Misi' yang juga tema sambutan tahun ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin selepas itu turut berkenan melawat reruai (booth) pameran beberapa agensi dan jabatan yang berkaitan dengan sekuriti makanan khususnya pertanian bandar seperti Jabatan Pertanian, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc Perak).

Baginda bersama Tuanku Zara selepas itu turut meninjau projek pertanian moden berskala sederhana yang diusahakan Perak Corporation (PCB) dengan kerjasama MB Inc yang dianggap sebagai antara contoh pengamalan pertanian moden dengan cara mengoptimumkan ruangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:17 PM