Siti A’isyah Sukaimi


BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang diumumkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H.

Selain itu, Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh pula diumumkan Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Menerusi penganugerahan itu, tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia dan RM10,000 daripada Yayasan Ubaidi.

Hadiah kepada tokoh terbabit disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Berikutan itu, tokoh akan diundang menyampaikan syarahan dalam ‘1st International Forum on Islamic Thought (1st I-FIT) : Revitalizing Maqasid Syariah Towards Compassionate Governance’ pada 3 September ini di Putrajaya.

Pemilihan kedua-dua tokoh itu adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman luas, peribadi unggul serta memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan syiar Islam.

Kedua-dua tokoh juga memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:26 AM